Ketua Penera­ngan Pas, Nasrudin Hassan (gambar) berkata, pusat tahfiz sering menjadi sasaran untuk ditutup setiap kali berlakunya beberapa kejadian tidak diingini seperti kebakaran dan kes liwat pelajar.

Jelas beliau, kenyataan Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menutup semua pusat tahfiz tidak berdaftar dianggap seolah-olah arahan daripada seorang pemerintah bersikap diktator.

“Berkata ‘menteri yang ada wilayah’, sekiranya (pusat tahfiz) tidak berdaftar, kami tidak teragak-agak untuk menu­tupnya. Kedengaran bagai titah seorang pemerintah di­k­tator. Mungkin juga kerana baharu peroleh kuasa.

“Malangnya, pusat tahfiz jugalah yang sering menjadi sasaran. Sebelum ini apabila berlaku kebakaran atau guru liwat murid, maka setiap kali itu ada suara minta pusat tahfiz ditutup. Berbeza alasan kali ini, disebabkan tidak berdaftar, jadi pusat tahfiz itu mesti ditutup dan ia diarahkan sendiri oleh menteri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Khalid semalam berkata, tindakan secara menyeluruh akan dilaksanakan DBKL kepada mana-mana pusat tahfiz yang masih belum berdaftar dengan kerajaan dan ber­operasi secara haram.

Tindakan tersebut adalah susulan kes sebuah pusat tahfiz tidak berdaftar yang terpalit kontroversi kes meliwat pelajar di Kepong, baru-baru ini.

Nasrudin berkata, Khalid sepatutnya sedar masih ba­nyak lagi aktiviti haram berleluasa di ibu negara yang perlu ditutup berbanding pusat tahfiz.