Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan PH tidak sepatutnya mengambil jalan mudah yang hanya disifatkan sebagai menyekat hak asasi individu bagi mendapatkan pendidikan termasuk dalam bidang berkaitan keagamaan.

Malah katanya, Kementerian Wilayah sepatutnya membantu dan mengambil langkah menaik taraf dan mendaftarkan pusat tahfiz terbabit.

“Kementerian Wilayah tidak sepatutnya mengambil jalan mudah dengan membuat keputusan dan arahan penutupan kepada pusat-pusat tahfiz. Tindakan ini jelas menunjukkan Kerajaan PH gagal untuk menjaga kepentingan umat Islam di negara yang agama rasminya adalah Islam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad yang berkata, tindakan secara menyeluruh akan dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada mana-mana pusat tahfiz yang masih belum berdaftar dengan kerajaan dan giat beroperasi secara haram.

Tindakan tersebut adalah susulan kes sebuah pusat tahfiz tidak berdaftar yang terpalit kontroversi kes liwat pelajarnya di Kepong di sini, baru-baru ini. - UTUSAN ONLINE