Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, inisiatif tersebut akan membuka puluhan ribu peluang pekerjaan golongan itu.

“Alhamdulillah. Pada hari ini Kabinet sebulat suara meluluskan modal Ekonomi Gojek atau DegoRide. Kita ikhlas ingin memastikan golongan ‘mat motor’ mendapat peluang pekerjaan puluhan ribu.

“Pada masa yang sama, kita ingin membantu mak cik dan pak cik yang ingin mengendalikan warung sedia ada untuk menjual barang mereka melalui servis Gojek, ingin membantu usahawan muda yang ingin menjual barang mereka juga melalui servis Gojek,” katanya dalam video yang dimuat naik dalam akaun Twitter miliknya hari ini.

Kata Syed Saddiq, inisiatif ini juga akan membantu rakyat yang ingin menggunakan pengangkutan awam dengan kos yang rendah.

“Kita akan terus berusaha keras untuk memastikan anak muda mendapat pembelaan yang terbaik. Ini adalah masa depan Malaysia kita semua,” katanya. - UTUSAN ONLINE