Bagi mencapai hasrat tersebut, perdabanan itu akan membuat penambahbaikan pada Geran Sepadan agar manfaat yang ditawarkan dapat dinikmati pelajar miskin ketika menjejakkan kaki ke menara gading.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, skim yang sedia ada akan ditambah nilai dengan kaedah yang lebih kepada kemampuan dan bukannya mewajibkan simpanan sehingga RM500 untuk mendapatkan ganjaran atau intensif.

Menurutnya, di bawah skim baharu ini penyimpan yang menabung RM10 akan berpeluang menerima ganjaran tambahan dari PTPN sebanyak RM10 sehingga had yang dibenarkan sebanyak RM500.

“Penambahbaikan skim ini diharap mampu menarik lebih ramai ibu bapa terutama nelayan, petani dan pekebun kecil yang tidak berkemampuan menabung dan berpeluang menikmati manfaat yang ditawarkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Solo Gen Y Nilai Murni Rakyat Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Telaga di sini, hari ini.

Wan Saiful berkata, langkah yang diambil itu akan mengurangkan tanggungan ibu bapa sebaik sahaja anak-anak mereka ditawarkan bagi melanjutkan pengajian di mana-mana pusat pengajian tinggi dalam dan luar negara.

Katanya, sepanjang tahun lepas PTPTN berjaya mengutip sejumlah RM1.13 bilion tabungan dan berharap kutipan itu akan bertambah.

“Dalam mseyuarat anggota Lembaga Pengarah PTPTN yang berlangsung awal April lepas telah bersetuju untuk mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kewangan bagi mendapat kelulusan mengenainya,” katanya.

Menurutnya, PTPTN kini dalam proses melengkapkan dokumen yang berkaitan sebelum mengajukan permohonan dalam tempoh terdekat.

“Sekiranya tiada apa-apa halangan kami akan melaksanakannya Geran Sepadan itu pada pertengahan tahun ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE