Bagaimanapun, Menterinya, Dr. Maszlee Malik tidak menyebut secara spesifik bila kenyataan itu 
akan dikeluarkan sebaliknya memberi bayangan yang ia bakal diumumkan sebaik tiba masanya 
kelak. 

"Kita akan membuat kenyataan rasmi bila sampai waktunya nanti," katanya ketika ditanya 
pemberita selepas pertandingan akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana 
Menteri 2018 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini 
malam tadi. 

Yang hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian 
Pendidikan, Dr. Mohd. Gazali Abas; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Ir. Dr. Siti Hamisah 
Tapsir dan Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Ahmad Zubaidi A. Latif. 

Kelmarin, Maszlee dalam akaun Twitter miliknya berkata, langkah penangguhan itu diambil buat 
sementara waktu sehingga pihaknya menerima input dan maklum balas kolektif daripada pihak 
berkepentingan.

Rabu lalu, Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan mengumumkan skim potongan bulanan baharu 
bagi peminjam dengan gaji RM2,000 ke atas, mulai 1 Januari 2019.

Potongan tersebut akan melibatkan antara dua peratus hingga 15 peratus daripada gaji 
peminjam.

Seorang peminjam dengan gaji bulanannya RM2,000 perlu membayar RM40 sebulan manakala 
mereka yang memperoleh RM8,000 perlu mengeluarkan RM1,200 sebulan.

Pengumuman itu mendapat pelbagai reaksi negatif termasuk kalangan pemimpin dalam kerajaan 
Pakatan Harapan (PH). - UTUSAN ONLINE