Tajuk itu pula boleh di­kait­­kan dengan situasi sema­sa terutama Perbadanan Ta­bung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Kerana apa, isu tersebut tiada kesudahan sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) memenangi Pi­lihan Raya Umum ke-14.

Golongan muda yang ma­joriti mengundi PH sememangnya terpengaruh dengan janji tentang isu PTPTN dan berharap dapat diselesaikan dengan cara tanpa bayaran balik atau lebih tepat percuma!.

Pelbagai usaha dilakukan dengan antara janji manifesto yang memberi pengecualian bayaran balik kepada mereka berpendapatan RM4,000 ke bawah. Bagaimanapun janji itu berlalu pergi kerana pemimpin kerajaan mahukan pe­minjam terbabit menjelaskan pinjaman mereka kerana hutang wajib dibayar.

Ketika pembentangan Be­­lan­jawan 2019, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan bayaran balik pinjaman itu dikenakan bagi mereka berpendapatan RM1,100 ke atas dengan kadar dua hingga 15 peratus atau se­rendah RM40 mengikut tangga gaji peminjam.

Desakan pelbagai pihak yang mahukan jumlah pendapatan itu dikaji semula dan akhirnya kerajaan mencari kaedah lain. Semalam, Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan menetapkan potongan oleh majikan itu akan dilaksanakan pada Januari 2019 dengan pendapatan gaji pe­minjam meningkat sedikit iaitu RM2,000 sebulan.

Namun bantahan juga diterima bukan sahaja peminjam tetapi juga majikan walaupun mereka mendapat insentif.

Nampaknya suara peminjam akhirnya didengari apabila Menteri Pelajaran, Dr. Maszlee Malik menyatakan sistem bayaran balik pinjaman fleksibel (ICLR) untuk pinjaman itu ditangguhkan buat masa ini.

Ada cara boleh diselesaikan dengan situasi menang-menang. Peminjam PTPTN yang konsisten bayar tanpa culas walaupun sebulan wajar dikekalkan kadar lama kerana mereka tidak pernah tertinggal membayarnya.

Kenakan kadar baharu kepada peminjam culas, yang buat-buat lupa atau dapat surat dibuang terus ke tong sampah. Golongan inilah liat membayar. Jangan kerana golongan ini enggan, habis mereka yang setia membayar terpalit sama.

Semoga langkah penangguhan sementara yang diumumkan Menteri Pendidikan itu akan mencari jalan terbaik untuk selesaikan segera jika tidak mahu antara janji manifesto PH itu menjadi ‘panas berpanjangan’.