Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, pada masa sama pihaknya turut menjangkakan mengambil masa enam bulan lagi bagi menyiapkan draf berkenaan sebelum dibentangkan kepada Kabinet untuk diluluskan.

Beliau memberitahu, pihak-pihak berkenaan termasuk pemimpin masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO) serta pihak berkepentingan lain akan sama-sama berbincang dan melontarkan idea bagi tujuan penambahbaikan draf itu.

Wan Saiful juga percaya usaha itu membolehkan semua pihak berpuas hati, adil selain mengambil kira semua aspek kebajikan para peminjam tabung berkenaan.

"Kita sedang giat membuat kajian mengenainya, saya sudah berkunjung ke Kedah, Perlis, Perak dan hari ini berada di Terengganu untuk berjumpa semua pihak di peringkat akar bumi untuk kita dapatkan informasi.

"Semua pandangan mereka itu kita akan dengar, untuk penambahbaikan skim itu nanti, ia bergantung kepada maklum balas yang kita dapat serta ambil masa paling awal enam bulan untuk disiapkan (draf)," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu selepas program Penyampaian Bantuan Persekolahan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kepada 1,000 orang pelajar sekolah di Terengganu, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Bersatu Terengganu, Senator Datuk Razali Idris.

Wan Saiful seterusnya memberi jaminan akan mengambil kira semua pandangan serta cadangan untuk dianalisa bagi mendapatkan kaedah pembayaran balik yang terbaik dan tidak membebankan. - UTUSAN ONLINE