JPM dalam kenyataannya berkata, BPH juga sentiasa menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan kawasan kejiranan kuarters berada dalam keadaan selamat.

“JPM ingin memaklumkan baharu pada masa ini, BPH sedang dan akan menyelenggara 2,063 unit kuarters kosong sebelum penawaran baharu kepada pemohon dalam senarai menunggu dilaksanakan.

“Melalui inisiatif yang baharu dilaksanakan ini, kerja-kerja penyelenggaraan akan dapat dipercepat dan penawaran dapat disegerakan kepada penjawat awam,” kata JPM dalam satu kenyataannya di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan terdapat kuarters kerajaan di Putrajaya yang masih kosong dijadikan lokasi persembunyian dan transit penjenayah sebelum menjalankan kegiatan pecah rumah di kawasan berhampiran.

Menurut jabatan itu lagi, dalam memastikan keadaan kuarters selamat dan selesa untuk didiami, PPj juga turut membantu melaksanakan operasi menebang dan mencantas pokok-pokok yang mendatangkan risiko dan keselamatan di kawasan kejiranan terlibat.

“Dalam usaha menjadikan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan sebagai sebuah bandar yang selamat dan selesa, segenap lapisan masyarakat perlu memainkan peranan yang penting dalam pencegahan jenayah dan gejala sosial dengan melaporkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, penglibatan komuniti dalam program bersifat kepolisan komuniti dan rondaan sukarela juga akan dapat membantu dalam mengekang penularan dan peningkatan kes jenayah dan gejala sosial di Putrajaya. - UTUSAN ONLINE