Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, tiga acara itu adalah Roadshow Homestay di Osaka dan Kyoto pada April, Ekspo Jata Pelancongan Jepun di Osaka pada September dan Pameran Malaysia-Tokyo pada November 2019.

Katanya, sepanjang tahun lalu, ketibaan pelancong Jepun ke Malaysia telah mencatatkan 392,777 orang berbanding 413,768 ketika 2016 manakala daripada segi pendapatan pelancongan pula, ia telah mencatat RM1,213.1 juta iaitu penurunan sebanyak 9.7 peratus berbanding RM1,342.8 juta pada 2016.

“Justeru itu, pelbagai usaha mempromosikan industri pelancongan Malaysia di negara matahari terbit itu, pejabat Tourism Malaysia di Tokyo dan Osaka telah merancang pelbagai aktiviti pemasaran terpilih dan strategik.

“Malaysia dan Jepun telah mempunyai hubungan dua hala yang telah terjalin sejak sekian lama, sehubungan itu kami amat mengalu-alukan pertukaran budaya dan berharap usaha ini dapat menjadikan kita lebih mengenali antara satu sama lain dalam memperkukuhkan hubungan erat kedua-dua negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas menerima kunjungan hormat Menteri Informasi Teknologi dan Inovasi, Strategi Angkasa, Harta dan Intelektual Jepun, Takuya Hirai di sini hari ini.

Pada masa sama, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof memaklumkan, keunikan budaya dan hasil kraftangan terdapat di Malaysia merupakan antara sebab rakyat Jepun memilih negara ini sebagai destinasi pelancongan khususnya di dalam kalangan pesara.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya sedang berusaha untuk memperbanyakkan jualan produk tempatan dan persembahan kebudayaan bagi menarik lebih banyak kemasukan pelancongan Jepun ke negara ini.

“Mereka ini (pelancong Jepun) sering memilih untuk tinggal di homestay di kampung-kampung kerana ingin melihat sendiri kehidupan masyarakat desa dan kita akan cuba memperbanyakkan produk pelancongan seperti ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE