Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Datuk Khamis Abas berkata, kerjasama tersebut hasil lawatan beberapa agensi termasuk Perzim dan Finas ke Itali baru-baru ini.

“Kita akan menjemput seorang pakar dari Rom untuk ke Melaka pada 12 hingga 15 Januari tahun depan bagi mengisi program-program yang akan dijalankan termasuk memberi kelas kepada pihak yang terlibat.

“Perzim diminta untuk menganjurkan program ini manakala Finas telah mengenal pasti sebuah ruang di bangunan Stadthuys untuk menjalankan projek rintis ini.

“Kita jangkakan akan dibuka kepada pelawat bermula April tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Measured Drawing Exhibition di Muzium Rakyat, Jalan Kota di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Akademik Politeknik Merlimau, Mohd. As'ri Chik.

Menurut Khamis, menerusi projek rintis itu, selain bangunan Stadthuys, bangunan lain yang turut diberi pencahayaan semula adalah menara jam besar, Gereja Christ dan Muzium Belia.

Dalam pada itu kata Khamis, sebanyak empat buah masjid lama di sekitar negeri ini akan dibaik pulih dengan peruntukan RM755,000.

Empat masjid yang terlibat ialah sebuah masjid di Parit Melana, Machap, Rim dan Bukit Cina.

Kata Khamis, kerja-kerja baik pulih masjid di Parit Melana telah siap dilakukan manakala masjid di Machap dan Rim akan dimulakan pada Januari tahun depan sementara masjid di Bukit Cina sekitar Februari.

“Kerja baik pulih ini dilakukan bagi membolehkan ibadah solat serta solat Jumaat dijalankan dan kita jangkakan kerja-kerja baik pulih ini akan siap dan boleh digunakan semula sebelum Ramadan iaitu Jun tahun depan,” katanya.