Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, kelulusan yang diputuskan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi baru-baru ini, membuktikan bahawa kesemua projek dirancang kerajaan negeri itu telus demi manfaat rakyat.

Kata beliau, penyaluran peruntukan adalah berasaskan tahunan dengan paras silingnya kekal iaitu antaranya Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) menerima RM723 juta manakala Pelabuhan Darat Perlis (PIP), RM150 juta.

"Jumlah peruntukan ini walaupun kita jangka akan meningkat tetapi memadai buat masa ini. Hospital Padang Besar buat masa ini tidak menerima sebarang peruntukan dan bolehlah kita anggap di 'peti sejukkan'.

"Namun begitu, pembinaan Sekolah Sukan di Bukit Chabang, Klinik di Padang Besar bernilai RM30 juta dan Terminal Kangar diteruskan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas membentangkan Belanjawan Perlis 2019 semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN, di sini hari ini.

Sebelum ini, sebanyak empat projek bertaraf mega di negeri ini yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM1 bilion telah ditangguhkan buat sementara waktu untuk dinilai semula oleh Kerajaan Persekutuan.

Empat projek itu ialah CVIA, Hospital Padang Besar, Terminal Pengangkutan Awam Bersepadu Kangar Sentral di Seriab dan Sekolah Sukan di Bukit Chabang.

Mengulas mengenai bajet bertemakan 'Pembangunan Dijana dan Diperkasa, Kebajikan Rakyat Dibela' itu, beliau berkata, ia memberi fokus untuk terus menjana pembangunan, dengan memberi penekanan kepada lebih banyak penglibatan sektor-sektor swasta.

"Bukan bermakna pelaburan awam itu tidak penting seperti untuk membangunkan kemudahan prasarana tetapi dalam konteks Perlis, mungkin 'terkebelakang'.

"Dua projek diinisiatifkan pihak swasta iaitu Jeti Bersepadu Sanglang di Kuala Sungai Baru dan Pelabuhan Darat Perlis (PIP) di Padang Besar," katanya. - UTUSAN ONLINE