Menariknya, 250 batang pokok terdiri daripada empat jenis buah rambutan iaitu anak sekolah, jarum mas, gula batu dan gading habis dalam masa kurang tiga jam.

Rata-rata yang hadir adalah penggemar buah-buahan tempatan yang tinggal di sekitar Lembah Klang, Selangor serta Negeri Sembilan dan berkumpul seawal pukul 7 pagi.

Timbalan Pengarah Am MARDI, Azman Adam berkata, semua yang hadir boleh menikmati pelbagai jenis buah rambutan yang ditanam di atas tanah keluasan 2.0 hektar secara percuma dan dijual pada harga RM2 sekilo bagi mereka yang mahu membawa pulang.

Menurutnya, program berkenaan juga bertujuan mendekati masyarakat setempat dengan agensi penyelidikan pertanian serta mempromosi buah-buah­an tempatan.

“Kita pernah adakan program seperti ini tahun lepas tetapi tidak secara terbuka dan hari ini kita buka kepada semua pihak bagi memberi peluang kepada mereka merasai suasana memetik buah sendiri.

“Saya lihat program ini mendapat sambutan yang menggalakkan dan kita akan adakan pada tahun akan datang terma­suk membuka plot tanaman lain,” katanya di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat MARDI, Dr. Mohd. Syaifudin Abdul Rahman.

Sementara itu, seorang pe­ngunjung, Noor Aini Abu, 58, memberitahu, dia berasa seronok dan teruja kerana berpeluang merasai pengalaman memetik buah rambutan sendiri.

“Sebelum ini saya tidak pernah merasa pengalaman seperti ini kerana saya tidak mempu­nyai kampung. Apabila sampai, saya berasa sangat teruja biarpun ramai orang, tapi sekurang-kurangnya kami dapat memetik dan makan buah secara terus dari pokok,” katanya.

Turut berkongsi perasaan gembira, Hazli Kasinan, 42, berkata, dia tidak melepaskan peluang keemasan itu dengan membawa keluarga merasai suasana kampung.