Semalam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah mengundang baginda untuk bersama-sama berkayuh dan menyampaikan sumbangan ke lima buah rumah asnaf di sekitar Kampung Datuk Keramat di sini.

rmps-keramat-2
 

Baginda bersama kira-kira 100 peserta, berbasikal ke lima buah rumah asnaf bagi menyampaikan bantuan wang tunai dan barangan keperluan harian sepanjang perjalanan sebelum tiba di Masjid Al-Akram di sini.

Pada majlis penyerahan bantuan kepada 100 orang asnaf di Masjid Al-Akram, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah agar lebih banyak program agihan dapat dirangka serta dilaksana secara menyeluruh dalam usaha membantu mereka yang layak dan memerlukan.

Baginda bertitah dengan perkembangan teknologi maklumat masa kini, agensi pengurusan zakat perlu lebih bersikap proaktif dan kreatif menyebarkan maklumat tentang program yang dilaksanakan melalui hasil zakat agar sampai kepada pengetahuan para pengeluar zakat khususnya dalam membantu golongan asnaf.

“Usaha memberikan kesedaran dan kepentingan berzakat kepada umum juga harus dipergiatkan lagi dari semasa ke semasa,” titahnya.

Program berbasikal itu turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Harun serta Pengerusi MAIWP Datuk Seri Syed Hussein Alhabshee. - UTUSAN ONLINE