Bagi Kumpulan Cosmopoint Sdn. Bhd, perancangan mengenai kerjaya dan masa depan perlu bermula lebih awal kerana setiap graduan mengimpikan pekerjaan setelah tamat pengajian.

Dan berdasarkan pegangan ini, Cosmopoint melancarkan inisiatif Program Gerak Kerja (GERAK) bagi tujuan mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan graduan di bawh institut-institut kelolaannya iaitu rangkaian Kolej Cosmopoint dan Kuala Lumpur Metropolitan University College (KLMUC).

Majlis pra-pelancaran GERAK telah disempurnakan oleh Pengerusi Kumpulan, Idham Ismail dengan disaksikan oleh Ketua Pegawai Operasi, Najmie Noordin, Sabtu lepas.

GERAK dirangka khusus bagi mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan graduan dan mempunyai tiga teras utama:

- menawarkan program dan silibus yang bertepatan dengan kehendak industri,

- memberikan latihan dan modul tambahan intensif untuk kebolehpasaran kerja, dan

- membina jalinan kerjasama industri untuk penempatan pekerjaan dan menambah baik silibus.

"Kami mulakan program ini pada tahun 2017, dan sehingga kini, lebih kurang 100 syarikat termasuk badan bukan kerajaan (NGO) telah menyertai program ini sebagai rakan industri," kata Najmie.

Beliau turut menambah, sebelum pengenalan GERAK, kebolehpasaran graduan Kolej Cosmopoint hanyalah 60 peratus.

"Namun, selepas pengenalannya, 70 peratus graduan Kolej Cosmopoint berjaya mendapat kerja dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian," kata Najmie.

Dan lebih istimewa lagi, program ini menawarkan pulangan yuran sehingga 50 peratus sekiranya pelajar masih gagal mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.

"Jadi kami yakin kami berada di landasan yang betul untuk meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan kami," kata Najmie yang turut menambah, program ini turut meliputi para graduan KLMUC.

Sementara itu, menurut Pengurus Sumber Manusia, Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd., Nur Saedy Anuar, kerjasama ini bakal memanfaatkan syarikat yang terlibat kerana sebagai Cosmopoint sebagai sebuah institusi pendidikan, mempunyai sumber tenaga manusia yang tidak ternilai. - UTUSAN ONLINE