Timbalan Naib Canselor (Akademik Dan Antarabangsa) UM, Prof. Dr. Awang Bulgiba Awang Mahmud berkata, jangkaan itu adalah berdasarkan kepada kejayaan fakulti berkenaan menduduki tempat ke-35 dalam senarai fakulti kejuruteraan terbaik di dunia yang dikeluarkan QS World Universities Ranking tahun ini.

Menurut beliau, QS World Universities Ranking turut menamakan lima bidang pengajian di UM iaitu Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik, Kejuruteraan Kimia, Kejuruteraan Mekanikal, Aeronautikal dan Pembuatan, Pengajian Pendidikan serta Pengajian Pembangunan dalam kalangan 50 pengajian terbaik di dunia.

“UM konsisten dalam memperoleh pencapaian memberangsangkan, bermula dengan satu pengajian terbaik dunia pada 2015 sebelum meningkat kepada dua pengajian tahun lalu.

“Penambahan kepada lima bidang pengajian tahun menjadikan UM secara keseluruhannya mempunyai 19 bidang pengajian yang diiktiraf antara yang terbaik di dunia,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian karnival berkenaan di Bangunan Peperiksaan UM di sini hari ini.

Perasmian karnival itu disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Zakri Abdul Hamid dan turut dihadiri Naib Canselor UM, Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Amin Jalaludin.

Sementara itu, Awang Bulgiba memberitahu, para pengunjung boleh mendapatkan maklumat tentang pelbagai bidang pengajian yang ditawarkan UM melalui 20 gerai pameran yang disediakan pada karnival tersebut.

“Karnival ini turut menawarkan beberapa pameran dan aktiviti menarik untuk pengunjung seperti cabutan bertuah, sesi perkongsian serta persembahan hiburan dan kebudayaan,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE