Pengarah Eksekutif Tutor.Com, Roslan Abd. Ghani berkata, hal demikian ini kerana walaupun baharu dilancarkan lima hari lalu, sebanyak 10,000 pelajar telah mendaftar sehingga hari ini dan jumlah itu dijangka meningkat apabila jelajah program tersebut diadakan di Kedah dan Johor dalam masa terdekat.

“Program ini berkonsepkan pentaksiran atas talian yang membantu mereka menghadapi peperiksaan sebenar sekaligus mengukuhkan pemahaman pe­lajar dengan lebih efisien dan kita beri secara percuma kepada semua pelajar yang menghadapi peperiksaan bermula 1 September lalu hingga hujung tahun ini.

“Kita buka kepada semua pelajar yang menghadapi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam membantu pelajar mengukuhkan kemahiran dan penguasaan konsep sesuatu subjek,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas majlis Pelancaran Pecutan Akhir A+ Peringkat Kebangsaan di Sekolah Kebangsaan Seri Permaisuri di sini, hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamarudin Jaffar.

Mengulas lanjut, Roslan berkata, promosi pendaftaran secara percuma dalam program tersebut akan berakhir pada 31 Disember ini dan pihaknya akan mengenakan bayaraa kepada pelajar yang mendaftar mulai tahun hadapan.

Katanya, beberapa perubahan sistem dalam program tersebut juga akan dibuat bagi memastikan kebolehcapaian pentaksiran itu dapat disampaikan kepada ibu bapa pelajar berkenaan.

Sementara itu, Kamarudin berkata, pelaksanaan program A+ mampu membangunkan ins­titusi pendidikan negara dan wajar diteladani oleh badan dan syarikat korporat lain.

Katanya, inisiatif tersebut secara tidak langsung membantu usaha kerajaan dalam menyediakan kepelbagaian program untuk pembangunan negara.

“Dunia pendidikan mengalami banyak perubahan dari masa ke semasa dan harus digunakan sepenuhnya bagi menguasai ilmu, kemahiran dan membina personaliti yang cemerlang,” katanya.