Semakan Utusan Online di www.johor.gov.my hari ini mendapati latar belakang pendidikan profil Menteri Besar sudah ditukar kepada Kerjaya & Perniagaan, yang menyenaraikan jawatan yang pernah dipegang Osman.

Sebelum ini, paparan di profil Menteri Besar menyenaraikan kelulusan beliau seperti Ijazah Perakaunan Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Diploma Perakaunan UPM dan Sijil Perakaunan (1985) Metro Manila College, Manila Philippine.

Hari ini, sebuah portal berita tempatan melaporkan, Osman mengakui pernah mengikuti Pengajian di Kolej Pertanian Malaya, namun beliau tidak menamatkan pengajian ketika menuntut di kolej berkenaan.

Kolej Pertanian Malaya dinaik taraf kepada Universiti Pertanian Malaysia dan kini dikenali sebagai Universiti Putera Malaysia (UPM).

Portal berita itu turut melaporkan, Osman mendakwa beliau tidak mengetahui berhubung kelayakannya yang mempunyai kelulusan Diploma dan Ijazah Perakaunan seperti dipaparkan di beberapa laman web.

Beberapa media tempatan menerusi kumpulan Whatsapp Media MB Johor hari ini turut meminta kenyataan rasmi berhubung perkara itu, namun sehingga pukul 7 petang, tiada sebarang maklum balas diterima. - UTUSAN ONLINE