Premis makanan 24 jam itu merupakan salah satu daripada sembilan premis yang diserbu KPDNHEP dalam operasi bersepadu yang turut disertai Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP negeri, Azeem Nazuri berkata, hasil pemeriksaan dan aduan pelanggan mendapati harga tercatat pada resit berbeza dengan harga pada buku menu dengan kenaikan lima sen bagi setiap menu makanan dan minuman.

"Roti canai dipaparkan harga RM1.15 dan roti telur RM2.15, namun bila pelanggan membuat bayaran mereka dikenakan bayaran RM1.20 bagi roti canai kosong manakala RM2.20 bagi roti canai telur. Ini jelas menunjukkan perbezaan harga selain gagal memberi pelanggan caj mengikut harga pada menu.

"Walaupun pekerja premis makanan terbabit memberi alasan pihak majikan mereka yang gagal menukar harga baharu sejak beberapa bulan lalu, namun ia tidak bermakna mereka boleh terlepas dari kesalahan tersebut dan dikenakan kompaun," katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Jelas Azeem, bagi kesalahan itu, kedai berkenaan dikenakan kompaun sebanyak RM300 di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan kertas siasatan dibuka dibawah Akta Pelindungan Pengguna 1999 selain kegagalan mempamerkan sebarang papan tanda harga.

"KPDNHEP tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap premis yang cuba mengelirukan pengguna Islam dengan menggunakan ayat-ayat suci al-Quran sama ada di kedai berkenaan atau bekas makanan yang dibekalkan di kedai tersebut.

"Kita proaktif melakukan pemeriksaan dalam memastikan pengguna Islam tidak terpedaya dan tersilap dalam aspek melibatkan makanan halal," ujarnya.

Sementara itu jelasnya, sebanyak 784 premis telah diperiksa KPDNHEP bermula 1 hingga 13 Januari lalu dalam menguatkuasakan undang-undang di bawah selian kementerian termasuk status halal di bawah Akta Perihal Dagangan 2011. - UTUSAN ONLINE