Dalam rancangan penjanaan modal tersebut, Maybank Investment Bank Berhad telah dilantik sebagai bank penyelaras, ejen fasiliti dan pengatur utama bersama dengan turut melibatkan AmInvestment Bank, CIMB Investment Bank dan juga RHB Investment Bank sebagai pengatur utama bersama.

Ketua Pegawai Eksekutif ­PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias berkata, perolehan itu akan digunakan sebagai modal kerja untuk 89 projek PR1MA yang merangkumi 84,449 unit rumah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) lebih RM23 bilion.

“Mandat untuk membina 500,000 unit rumah untuk golo­ngan berpendapatan pertengahan adalah satu komitmen besar yang sudah tentunya memerlukan modal yang juga sangat besar.

“Sebab itulah, selain daripada peruntukan kerajaan, kita juga perlu melihat kepada pelbagai bentuk pembiayaan luar,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian antara PR1MA dan bank-bank terlibat dalam program sukuk dan kemudahan kredit pusingan di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Majlis tersebut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim serta Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias; Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Pengarah Urusan Kumpulan RHB Banking, Datuk Khairussaleh Ramli dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd. Tahir.

Menurut Abdul Mutalib, daripada 267,902 unit kediaman PR1MA di seluruh negara yang telah diluluskan oleh Ahli-ahli Perbadanan PR1MA untuk dimajukan, sebanyak 139,393 unit kediaman sedang dalam pelbagai peringkat pembinaan.

“Setakat ini, 9,791 unit kediaman PR1MA telah dijual di seluruh negara melibatkan nilai jualan sebanyak RM2.36 bilion. Kami juga telah menyiapkan 8,475 unit kediaman dan kami yakin sasaran 17,000 unit rumah pada akhir tahun ini disiapkan dapat dicapai,” katanya.

Katanya, lebih dari 1.42 juta rakyat Malaysia telah mendaftar dengan PR1MA dan daripada jumlah itu, sebanyak 166,972 orang telah memohon kediaman PR1MA.

“Sejak adanya PR1MA, kami juga telah melihat trend daripada banyak syarikat untuk memajukan projek-projek perumahan mampu milik, kami mengalu-alukan trend ini yang memberi lebih banyak pilihan kepada rakyat,” katanya.

PR1MA yang ditubuhkan di bawah Akta PR1MA 2012 dipertanggungjawabkan untuk me­laksanakan program menyeluruh bagi membina rumah mampu milik untuk golongan berpendapatan seder­hana sekitar RM2,500 hing­ga RM15,000 sebulan yang tinggal di kawasan bandar dan luar bandar.