Presiden Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd. Azizee Hasan mahu kerajaan mengkaji secara teliti keberkesanan dasar Program Dwibahasa (DLP) yang sedang dijalankan sebelum mengembalikan PPSMI dalam format baharu.

Beliau menolak percubaan menjadikan murid dan guru sebagai bahan makmal uji kaji melalui usaha menghidupkan kembali PPSMI yang akhirnya membawa kesan kepada generasi akan datang.

“i-Guru tidak mahu langkah tergesa-gesa ini membawa padah kepada bangsa dan negara.

“Mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu adalah manifestasi kedaulatan undang-undang manakala memperkasa bahasa Inggeris sebagai alat menguasai keilmuan adalah usaha mengukuhkan ia sebagai bahasa untuk mendepani cabaran teknologi dan abad digital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam sidang Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Kementerian Pendidikan sedang mengkaji secara terperinci mengenai pelaksanaan semula dasar PPSMI dengan alasan ilmu sains bertambah sepanjang masa hasil kaji selidik pakar yang biasanya tidak dibuat menggunakan bahasa Melayu.

Mengulas lanjut, Mohd. Azizee bersetuju bahawa subjek Sains dan Matematik perlu dimantapkan dan pada masa sama penguasaan bahasa Inggeris diperkasakan di peringkat sekolah sebagai persediaan menghadapi cabaran akan depan..

Namun katanya, aspek yang paling penting ialah sejauh mana penguasaan Sains dan Matematik menggunakan bahasa Inggeris lebih berkesan daripada menggunakan bahasa Melayu.

“Guru menyakini penguasaan sains dan matematik menggunakan bahasa ibunda lebih berkesan dari menggunakan bahasa Inggeris,” katanya.

Katanya, i-Guru melihat pihak Kementerian Pendidikan perlu merangka dasar baharu untuk memastikan penguasaan Sains dan Matematik dalam kalangan murid-murid terus meningkat dengan mengambil kira pencapaian murid Malaysia di dalam Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (Timss) dan Program Penilaian Murid Antarabangsa (PISA) tanpa mengabaikan kepentingan menguasai bahasa Inggeris.-UTUSAN ONLINE