ABDUL LATEH MOHD. SAMAN
ABDUL LATEH MOHD. SAMAN 

Pengerusinya, Datuk Abdul Lateh Mohd. Saman berkata, pihaknya berharap permohonan itu akan diluluskan kerana PPN negeri itu yakin mampu menghasilkan benih padi sah berkualiti untuk menampung keperluan pesawah-pesawah di Kedah.

Jelas beliau, ini boleh dilakukan menerusi kemudahan mini estet-mini estet padi yang terdapat di setiap kawasan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

“Kita juga mempunyai tenaga kerja mahir mencukupi untuk memastikan padi-padi angin dan berpenyakit dibuang bagi menghasilkan benih padi berkualiti tinggi.

“Saya berharap agar jangan hanya menyalahkan pesawah menggunakan benih haram sahaja tetapi lihat dahulu sama ada benih sah yang diiktiraf kementerian ini benar-benar berkualiti.

“Bayangkan sahaja benih padi (sah) di luar negara seperti Taiwan sudah boleh mengeluarkan hasil dalam 16 tan per hektar tetapi kita baru melancarkan benih yang mampu memberi hasil 12 tan per hektar,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Jamal Harizan Yang Razali dilaporkan berkata, negara bakal mengalami kemerosotan bekalan beras tempatan berikutan ramai penanam padi di seluruh negara dikesan semakin cenderung menggunakan benih tidak sah yang tidak terjamin hasil pengeluarannya.

Kata beliau, masalah tersebut berpunca daripada tahap kesedaran dalam kalangan pesawah tempatan amat rendah berhubung kepentingan penanaman menggunakan benih sah.

Abdul Lateh seterusnya memberitahu, pihak kementerian perlu mengambil langkah memastikan bahawa benih padi sah dikeluarkan mereka benar-benar berkualiti tinggi bagi mengembalikan keyakinan para pesawah untuk menggunakannya.

Untuk rekod kata beliau, kuota pengeluaran benih padi sah di negeri ini diberikan kepada PPK Penaga, Syarikat Perniagaan Peladang MADA Sdn. Bhd. (MADA Corp) dan pihak swasta iaitu para pengilang pemprosesan padi.

“Ramai pesawah meragui benih-benih padi sah yang dikeluarkan khususnya oleh pihak-pihak swasta, sekali gus menyebabkan mereka beralih meggunakan benih haram,” katanya. - UTUSAN ONLINE