Setiausaha Kerjanya, Muhd. Nabil Kamal Baharin mendakwa, pada masa ini, mereka sedang mengumpulkan bahan bukti mengenai penyelewengan yang dilakukan pemimpin terbabit antaranya seperti isu pembekalan periuk nasi, projek tebatan banjir dan pemberian projek-projek kepada kontrator secara terus tanpa melalui proses tender.

Dakwa Muhd. Nabil, pihaknya menerima banyak aduan daripada orang ramai, keterangan daripada saksi-saksi termasuk individu yang pernah dijadikan kambing hitam bagi melindungi kegiatan tidak bertanggungjawab pemimpin terbabit.

“Kita sedang melengkapkan dan menyediakan bahan bukti untuk diserahkan kepada SPRM.

“Setakat ini, sudah 85 peratus siap, saya yakin dalam minggu ini selesai dan akan didedahkan kepada pihak media siapa pemimpin UMNO ini.

“Penyelewengan membabitkan pemimpin-pemimpin terbabit sudah lama namun tidak ada tindakan diambil sebelum-sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Muhd. Nabil, pihaknya juga mengalu-alukan mereka yang mempunyai maklumat mengenai salah guna kuasa dan penyelewengan oleh pemimpin terdahulu supaya tampil bersama-sama membuat laporan kepada pihak berkuasa.

“Sebelum ini, ramai sudah membuat laporan mengenai salah laku ini, namun tiada hasil dan berkemungkinan kerana campur tangan kerajaan terdahulu.

“Terlalu banyak salah guna kuasa berlaku tetapi mereka seperti dilindungi dan diberi kekebalan sebelum ini. Jadi kita sudah mengumpul semua bukti secara hitam putih, transaksi penyelewangan serta saksi yang terbabit untuk diserahkan kepada SPRM,” katanya. - UTUSAN ONLINE