Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Azlan Shahrim berkata, sejumlah 50,000 keping sampul surat yang memaparkan pertunjukan udara dan ma­ri­tim akan dijual pada harga hanya RM2.50.

“Pakej sampul surat peringatan khas ini merangkumi setem pracetak bernilai RM2 yang memaparkan elemen-elemen aset maritim serta aeroangkasa seperti kapal perang, jet pejuang dan helikopter.

“Diharapkan pengumpul cenderahati tidak akan melepaskan peluang untuk memiliki koleksi ini sempena pameran yang menjadi kebanggaan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau me­nyarankan kepada pengumpul cenderahati agar menjadi ahli Akaun Pesanan Deposit (Soda) untuk menikmati kemudahan yang disediakan Pos Malaysia tanpa perlu ber­atur di pejabat pos.

Dalam pada itu, Azlan berkata, Pos Malaysia juga akan menggunakan cap pos khas bertajuk Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi Ke-13, 17.3.2015 LANGKAWI pada Selasa ini iaitu hari pertama LIMA berlangsung.

Jelasnya, cap pos khas itu akan terpapar pada surat yang dihantar dari Langkawi ke mana-mana sahaja destinasi di dunia pada hari berkenaan dan sudah tentu, perkara tersebut bakal menjadi kenangan indah.

“Kami percaya dengan semua langkah yang diambil pihak Pos Malaysia ini bukan sahaja memberi tarikan kepada pengumpul cenderahati tetapi menjadikan LIMA tahun ini lebih bermakna,” katanya.