Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, inisiatif tersebut diketuai oleh Malaysia dan pihaknya akan memulakan proses pengumpulan maklumat serta maklum balas daripada negara-negara ASEAN lain.

“Portal ini adalah satu langkah penyelesaian untuk permohonan visa yang lebih mudah kerana maklumat permohonan visa untuk ke 10 negara ASEAN boleh diakses dalam satu portal sahaja.

“Kita jangkakan portal ini boleh mula diakses menjelang tahun 2020 dan lima tahun pertama akan menjadi tempoh percubaan sebelum kita melakukan penambahbaikan yang lebih mesra pengguna,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Asean Ke-22, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mustafar memaklumkan sepanjang tahun ini, pihaknya telah melakukan lebih 6,000 operasi menerusi Op Mega yang dijalankan di seluruh negara.

Ujarnya, daripada seluruh operasi berkenaan, sebanyak 108,960 warga asing telah diperiksa dan kira-kira 27,000 ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

“Kita juga telah mengambil tindakan terhadap 718 majikan kerana didapati melakukan kesalahan menggaji pekerja asing tanpa dokumen yang sah,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE