Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, lelaki itu ditangkap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban ketika dia hadir untuk memberi keterangan kepada polis.

"Ya. Dia telah ditangkap pukul 7 malam tadi di IPD Seremban.

"Kes ini diserah kepada Ibu pejabat Polis Bukit Aman untuk siasatan lanjut," katanya dalam pesanan ringkas kepada Utusan Online di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan kes satu ciapan oleh pengguna dengan nama Zikri Armstrong yang mendakwa remaja warga Ireland yang dilaporkan hilang sebelum ditemukan mati telah dirogol Orang Asli.

"Perogol Nora Anne adalah Orang Asli. Police will never find the killer cuz most Orang Asli still dont have IC or any sort of citizen data. Bet me," katanya di laman Twitter.

Lokasi resort desa tempat penginapan Nora Anne dan keluarganya di Pantai, dekat sini adalah berhampiran dengan kawasan penempatan Orang Asli.

Mayat Nora Anne ditemui kira-kira pukul 1.57 petang, Selasa lalu oleh sekumpulan pendaki yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Gadis itu yang mengalami masalah pembelajaran dilaporkan hilang dari resort The Dusun Pantai Hill di sini pada 4 Ogos lalu semasa sedang bercuti bersama ibu, Maebh Jaseprine Quorin, 46, dan bapa, Sebastian Marie Philipe, 47, serta dua adiknya. - UTUSAN ONLINE