Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, kehadiran anggota polis hanya bertujuan mengawal keselamatan anggota penguat kuasa agensi lain termasuk masyarakat Orang Asli sendiri.

“Kalau baca portal itu, katanya anggota PGA yang merobohkan sekatan yang dibina oleh masyarakat Orang Asli semalam. Sedangkan, penugasan anggota polis yang ditempatkan di tiga kawasan iaitu di Kaleg, Cawas dan Kuala Wok hanya mengawal keselamatan dan lalu lintas sahaja.

“Kita juga bukan sahaja menjaga keselamatan anggota penguat kuasa yang bertugas, namun, termasuk juga keselamatan masyarakat Orang Asli yang berada di kawasan berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa menggantikan Asisten Komisioner Dr. Che Ghazali Che Awang yang ditugaskan sebagai Penolong Pengarah Perkhidmatan Penjawatan Pegawai Rendah Polis di IPK Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Akhbar hari ini melaporkan anggota Jabatan Perhutanan bertindak merobohkan tiga sekatan yang dibina oleh Masyarakat Orang Asli Suku Temiar di kawasan pedalaman jajahan Gua Musang semalam. - UTUSAN ONLINE