Pengerusi Pertubuhan Warisan Persahabatan Gugusan Manjoi (Sahabat), Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi berkata, tindakan itu jelas melanggar etika sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dalam negara berbilang kaum.

"Sepatutnya kita memasang bendera mengikut aturan dan kedudukan yang betul tetapi mereka sengaja terbalikkan dan meletakkan warna kuning yang melambangkan raja dan agama Islam di bawah.

"Apabila Jalur Gemilang diterbalikkan, itu menunjukkan kita meletakkan Yang di-Pertuan Agong di bawah. Adakah ini mereka memberi isyarat sesuatu kepada seluruh rakyat Malaysia atau sebagai tanda protes?," katanya ketika ditemui di luar Balai Polis Sungai Senam di sini hari ini.

Antara NGO lain yang turut hadir memberikan sokongan ialah Jemaah Manjoi, Majlis Ayahanda-Ayahanda Perak (MAAP) selain disertai Pemuda UMNO Tambun, Ipoh Barat dan Gopeng.

Di Ipoh, perbuatan memasang Jalur Gemilang secara terbalik itu didakwa dipasang di sebuah kedai alat ganti kenderaan di Bercham.

Dalam pada itu, Syamsul Baharin Putra berkata, beliau secara peribadi berpandangan perbuatan tersebut seolah-olah mencabar Yang di-Pertuan Agong, justeru mahu pihak polis bertindak tegas dalam hal berkenaan kerana mendakwa ia telah berlarutan sebelum pilihan raya umum lalu.

Selain itu, beliau juga menyarankan semua pihak agar menyahut seruan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memilih tema Hari Kebangsaan pada tahun ini iaitu Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih.

"Jadi, kita mahu bersihkan anasir-anasir yang kotor ini daripada pemikiran rakyat Malaysia.

"Sekarang ini sudah ibarat menjadi satu trend apabila 'kerosakan' telah dilakukan, lepas itu baru minta maaf, boleh ke macam itu? Perbuatan ini menimbulkan rasa kurang senang terhadap semua kaum," katanya. - UTUSAN ONLINE