Beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab PH untuk menyelamatkan negara selepas diberi mandat oleh rakyat yang mahukan perubahan.

“Baru-baru ini ada pilihan raya, kita berjaya menukar kerajaan yang telah memerintah negara selama 61 tahun, pembangkang (ketika itu) yang ada empat parti bergabung telah memenangi pilihan raya kerana sokongan rakyat.

“Kejayaan ini kejayaan rakyat dan rakyat menunggu-nunggu untuk dapat nikmat daripada kerajaan pilihan mereka dan saya percaya kita dapat tunaikan janji antaranya menyelamatkan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Deepavali 2018 di Dataran Rembau, di sini malam ini.

Yang turut hadir, Undang Luak Rembau, Datuk Muhammad Sharip Othman; Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin; Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Tan Sri Dr. Rais Yatim dan kira-kira 7,000 penduduk.

Dalam pada itu Dr. Mahathir berkata, sambutan Deepavali di negara ini unik kerana diraikan oleh pelbagai kaum yang berkumpul dan berkongsi merayakan hari kebesaran secara bersama.

Secara tidak langsung katanya, ia memberi petanda bahawa negara ini aman sekali gus dapat dibangunkan dan memberi kebahagiaan kepada rakyat.

“Jika tidak ada keamanan, banyak wang dihabiskan kerana permusuhan dan berlaku cedera parah, negara tidak dapat dibangunkan,” ujarnya.

Terdahulu, Dr. Mahathir meluangkan masa kira-kira 15 minit melawat Pusat Jagaan Kanak-Kanak Vivekananda di sini. - UTUSAN ONLINE