KUALA LUMPUR 11 Julai – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengucapkan tahniah kepada pihak berkuasa Thailand yang berjaya menyelamatkan 12 kanak-kanak lelaki bersama jurulatih bola sepak mereka selepas terperangkap selama lebih dua minggu di dalam gua Tham Luang.
Beliau turut menyifatkan tindakan yang diambil pasukan penyelamat dan pihak berkuasa Thailand itu sebagai sesuatu yang berani serta luar biasa.
“Kami gembira misi menyelamat itu berjaya dan remaja terbabit yang terperangkap dalam gua Tham Luang di Chiang Rai kini boleh kembali bersama keluarga mereka,” katanya menerusi catatan dalam laman Facebook miliknya hari ini.
Semalam, kesemua 12 kanak-kanak lelaki bersama jurulatih bola sepak mereka yang terperangkap dalam gua Tham Luang dekat Chiang Rai yang ditenggelami air berjaya diselamatkan dan dibawa keluar.
Kesemua mereka terperangkap sejak 23 Jun lalu ketika melakukan penjelajahan dalam kompleks gua itu selepas latihan bola sepak, namun hujan lebat menyebabkan terowong gua itu ditenggelami air.
Penyelam Britain kemudian menemukan mereka kelaparan dan berpelukan antara satu sama lain dalam kegelapan di tebing yang berlumpur dalam gua berkenaan beberapa kilometer di kompleks gua tersebut.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir turut mengulas pengorbanan bekas tentera laut Thailand, Samarn Gunan yang terkorban dalam misi menyelamat tersebut.
“Misi itu bukan tanpa pengorbanan. Ingatan kami buat Samarn Gunan yang kehilangan nyawanya dengan tragis ketika menghantar bekalan tangki oksigen ke dalam gua ketika misi tersebut.
“Tindakan beraninya itu kekal terpahat dalam ingatan semua rakyat Thailand dan masyarakat dunia yang mengikuti rapat perkembangan episod itu. Takziah kami kepada keluarga dan sahabatnya,” katanya.