Perdana Menteri berkata, penelitian itu perlu kerana beliau tidak mahu ada pihak menjadi mangsa, sekali gus memastikan ia bukan dise­babkan penjimatan yang dilaksanakan kerajaan ketika ini.

“Kita akan meneliti perkara ini kerana tidak mahu sesiapa menjadi mangsa dalam usaha untuk mengurangkan kos pentadbiran negara,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, beliau merasmikan majlis Persidangan Perwakilan Kesatuan Pekerja-Pekerja Pakai­an Seragam Pos Malaysia Berhad (UPUS) Semenanjung Malaysia Kali Ke-21 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Pos Malaysia, Datuk Mohammad Zainal Shaari; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Syed Md. Najib Syed Md. Noor dan Pemangku Tugas-Tugas Presi­den UPUS, Ahmad Tarmizi Taib.

Sebelum ini, media melaporkan 52 kakitangan kerajaan yang mengikuti kursus khas pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) digugurkan daripada program terbabit.

Memetik sumber, difahamkan daripada jumlah itu, empat pegawai kontrak secara automatik hilang kerja manakala baki 48 pegawai diarahkan kembali ke jawatan lama mereka dengan segera.

Penamatan kontrak itu berlaku selepas Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menaikkan gred lulus bagi program Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam (DPA).

Sementara itu, Dr. Mahathir ketika berucap dalam majlis tersebut berkata, kesatuan sekerja perlu memahami perubahan masa kini dan memainkan peranan bagi memastikan pekerja-pekerja tidak tertinggal apabila berlakunya perubahan teknologi.

“Kesatuan sekerja di negara ini perlu berubah sikap de­ngan tidak lagi berfungsi sebagai pengatur piket serta demonstrasi semata-mata, sebaliknya sebagai perantara antara pekerja dengan syarikat, kesatuan sekerja yang dinamik amat pen­ting,” ujarnya.