Penerbitan sukuk hijau berke­naan dibuat oleh Tadau Energy Sdn. Bhd. bernilai RM250 juta dan Quantum Solar Park Semenanjung (QSPM) Sdn. Bhd. pada nilai RM1 bilion.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Menurut Maximus, penerbitan sukuk hijau tersebut memberi makna besar kepada negara bagi pembiayaan projek infrastruktur mesra alam serta memantapkan inovasi dalam produk pembia­yaan kewangan Islam.

“Malaysia mencatatkan sejarah dalam pembiayaan hijau dan arena sukuk global dengan penerbitan sukuk hijau pertama di dunia oleh Tadau Energy Sdn. Bhd. pada Julai lalu dengan nilai RM250 juta.

“Ia diikuti penerbitan sukuk hijau sebanyak RM1 bilion oleh QSPM yang mengukuhkan lagi kedudukan negara dalam kewangan hijau Islam,” katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan.

Majlis itu dihadiri Pengarah Urusan Tadau Energy, Suzanna Lim; Pengarah Eksekutif QSPM, Lee Choo Boo; Pengarah Urusan Affin Hwang Invesment Bank Bhd., Datuk Maimoonah Hussain; Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Investment Bank Bhd., Datuk Kong Sooi Lin serta Ketua Kumpulan Perbankan Global Maybank, Datuk Muzaffar Hisham.

Pengatur Utama Bersama dan Pengurus Bersama bagi penerbitan sukuk hijau Tadau Energy adalah Affin Hwang Investment Bank Bhd. manakala Pengatur Utama Bersama dan Pengurus Bersama bagi penerbitan sukuk hijau QSPM adalah CIMB Investment Bank Bhd. dan Maybank Investment Bank Bhd..

Menurut Maximus, kejayaan penerbitan sukuk hijau berke­naan adalah hasil usaha Bank Negara Malaysia (BNM) dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) serta mendapat sokongan daripada Bank Dunia.

“Pembiayaan sukuk hijau merupakan satu kaedah inovatif untuk menyediakan pembiayaan global bagi projek-projek pembangunan lestari di bawah rangka kerja Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab,” katanya.

Jelas beliau, kerajaan meletakkan sasaran penjanaan elektrik daripada Tenaga Boleh Baharu (TBB) sebanyak 7,200 megawatt (MW) menjelang tahun 2020 de­ngan jumlah penjanaan elektrik daripada tenaga solar menyumbang sebanyak 2,000 MW.