Logo itu merupakan usaha pemasaran dan promosi kempen dengan menampilkan ikon Malaysia yang cukup dikenali seperti burung kenyalang, bunga raya, paku pakis liar dan warna-warna bendera Malaysia.

Secara keseluruhannya, logo berkenaan menggambarkan kepelbagaian yang terdapat dalam budaya, warisan, flora dan fauna serta pengalaman yang ditawarkan oleh Malaysia sebagai sebuah destinasi percutian.

Logo ciptaan pereka grafik, Alfred Phua Hong Fook itu telah berjaya mengenetepikan beratus-ratus logo yang diterima dari seluruh negara sepanjang tempoh pertandingan yang berlangsung pada awal tahun ini.

Perdana Menteri dalam ucapannya berharap, kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 akan berjaya mencapai sasaran untuk menarik kehadiran 30 juta pelancong serta mencapai RM100 bilion perbelajaan pelancong.

Katanya lagi, untuk mencapai sasaran berkenaan, kerajaan perlu menjangkau sasaran lebih tinggi untuk mempromosikan Malaysia di negara lain termasuk ASEAN, China, India, United Kingdom (UK) dan Jerman.

“Kejayaan Melawat Malaysia 2020 juga bergantung kepada promosi yang berkesan. Selain itu, sektor pelancongan juga perlu bergerak seiring dengan transformasi digital yang menekankan pemasaran digital,” katanya.

Pada majlis itu, Dr. Mahathir turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) promosi antara Tourism Malaysia dengan Malaysia Airlines, AirAsia, Firefly, Malindo Air, Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) dan Sharp (M) Electronic Sdn. Bhd.

Perdana Menteri kemudiannya turut melancarkan ‘livery’ khas logo Melawat Malaysia 2020 di badan pesawat keempat-empat syarikat penerbangan tersebut di Kompleks Bunga Raya KLIA. - UTUSAN ONLINE