Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merangkap Menteri Kewangan memberi jaminan bahawa kadar GST yang genap setahun dilaksanakan itu akan kekal pada masa ini.

Sehubungan itu, beliau menafikan dakwaan DAP Sarawak bahawa kerajaan akan menaikkan kadar GST kepada sekurang-kurangnya 10 pera­tus jika Barisan Nasional (BN) menang besar dalam PRN-11.

Semalam, Pengerusi DAP Negeri, Chong Chieng Jen mendakwa langkah itu akan diambil susulan kejatuhan harga minyak dunia dan kehilangan berterusan hasil kerajaan.

“Tidak ada rancangan untuk menaikkan kadar GST di Sarawak atau mana-mana tempat di Malaysia,” kata Najib ketika mengucap dalam Majlis Bertemu Rakyat di Kelab Golf & Country Eastwood, di sini, malam tadi.

Najib berkata, walaupun harga minyak jatuh di pasaran dunia, kerajaan akan mencari sumber lain bagi membiayai program pembangunan negara.

Katanya, pembangkang cuba mengeksploitasi isu GST bagi membuat rakyat benci terhadap kerajaan.

Beliau mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan retorik dan propaganda pembangkang bahawa GST membebankan rakyat. BERNAMA