Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, dua barangan jualan yang akan dikecualikan SST adalah plastik pembungkus beras dan unit bangunan yang tidak mempunyai hak milik strata.

Menurutnya, cukai yang dikenakan ke atas plastik pembungkus beras sebelum ini adalah sebanyak 10 peratus.

“Hanya plastik pembungkus beras sahaja dikecualikan cukai manakala plastik pembungkus bagi barangan lain tetap dikenakan cukai SST sebanyak 10 peratus,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi Taklimat Pelaksanaan SST di sini hari ini.

Turut hadir pada sesi taklimat itu Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri T. Subromaniam dan Pengarah Kastam negeri Datuk Johari Alifiah.

Pada 2 September lalu, akhbar melaporkan Guan Eng mengumumkan pembelian kad tambah nilai prabayar akan dikecualikan daripda cukai SST serta-merta.

Beliau berkata, barangan lain yang dikurangkan cukai SST adalah minuman berperisa koko yang sebelum ini dikenakan cukai sebanyak 10 peratus.

“Bagi semua minuman berperisa koko, cukai SST dikurangkan kepada lima peratus selaras dengan jenis minuman berperisa lain,” katanya. - UTUSAN ONLINE