Ketetapan bersama itu diambil dalam satu mesyuarat yang diadakan di sini, semalam.

Turut menyatakan sokongan penuh terhadap Ahli Parlimen Port Dickson itu adalah kesemua tiga ketua Cabang PKR di Perlis iaitu masing-masing Kangar, Noor Amin Ahmad; Arau, Izhar Kamarudin Sudin dan Padang Besar, Amran Kamarudin yang juga merangkap Ketua MPN PKR negeri.

Selain itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri merangkap Ketua AMK Kangar, Nor Azam Karap turut menyatakan ikrar yang sama terhadap kepimpinan Anwar.

Pengarah Komunikasi PKR negeri, Zamri Sapar memberitahu, kesemua mereka menyatakan komitmen menyokong dan membantu Anwar dalam menerajui negara sebagai Perdana Menteri kelapan bagi menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas ini.

Sebelum ini, Timbalan Ketua PKR Cabang Arau, Mohammad Faisol Abd. Rahman dilaporkan berkata, PKR Cabang Arau dan sebahagian besar pemimpin PKR Cabang Padang Besar yang diketuai timbalannya, Wan Mohmad Fesyal Wan Daud menyatakan sokongan penuh kepada Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Malah sebelum itu, AMK Cabang Padang Besar dan Arau turut menyatakan sokongan penuh terhadap Mohamed Azmin, sekali gus menolak sekeras-kerasnya politik adu-domba serta fitnah jijik yang boleh menjejaskan keharmonian parti. - UTUSAN ONLINE