Timbalan Pengerusi PKR negeri, Sim Tze Tzin berkata, kerajaan negeri perlu mempertimbang sumber lain sebagai dana projek itu sama ada menerusi pinjaman luar atau mendapatkan pembiayaan daripada Kerajaan Pusat.

Tambah beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, kelulusan projek tambak laut itu juga belum muktamad sepenuhnya dan masih ada ruang perbincangan khususnya antara kerajaan negeri dan komuniti nelayan bagi mencari penyelesaian kepada isu berbangkit.

Bagaimanapun, ujar beliau, sekiranya projek tambakan laut itu tetap perlu diteruskan, PKR negeri akan membawa suara dan permintaan nelayan kepada kerajaan negeri seterusnya memastikan masa depan mereka terjamin.

"Sehubungan itu, PKR negeri telah menubuhkan jawatankuasa khas yang dianggotai barisan pemimpin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR untuk mengumpulkan maklum balas dan pandangan daripada para nelayan.

"Proses pertemuan dengan nelayan itu akan berlangsung selama kira-kira dua bulan sebelum kita mengemukakannya kepada kerajaan negeri sekiranya projek tambak laut ini terpaksa diteruskan," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas sesi bertemu kira-kira 50 nelayan di Jeti Nelayan Sungai Batu, Teluk Kumbar di sini yang turut dihadiri Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang, Nazri Ahmad.

Dalam pada itu, Tze Tzin berkata, PKR negeri juga beranggapan pemberian pampasan dalam bentuk wang ringgit meskipun sehingga berjumlah RM100,000 bukan penyelesaian dan menggesa nelayan menolaknya.

Sebaliknya, tambah beliau, sebarang bentuk pampasan perlu disertakan dengan rancangan supaya mata pencarian nelayan dan masa depan mereka serta generasi seterusnya tetap terbela.

Dalam pada itu, Ketua Unit Nelayan Gertak Sanggul, Datuk Chooi Sooi Kong berkata, nelayan negeri ini mahukan projek tambak laut tersebut dibatalkan dan tetap menolak sekali pun projek berkenaan mahu dikecilkan.

Tambahnya, projek itu bakal memberi kesan buruk kepada para nelayan negeri ini untuk satu tempoh yang panjang iaitu berpuluh-puluh tahun selain menyebabkan kemusnahan kekal kepada ekosistem laut. - UTUSAN ONLINE