Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mohd. Azizi Mohd. Zain berkata, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) tersebut dapat menggalakkan warga kerja PKNS untuk sentiasa bersemangat dalam berkhidmat serta berusaha meningkatkan produktiviti dan mutu kerja kerana mereka adalah komponen penting dalam kecemerlangan perbadanan tersebut.

Menurut beliau, kecemerlangan ditunjukkan oleh para penerima anugerah tersebut adalah hasil daripada usaha sama semua warga kerja PKNS dalam menjalankan tangggungjawab mereka menunaikan amanah kepada rakyat.

“Melalui anugerah ini, ia dapat menggalakkan warga kerja terus memberikan komitmen dan daya usaha mempertingkatkan produktiviti serta mutu kerja berkualiti tinggi kerana mereka bukan sahaja merupakan peneraju perubahan tetapi juga penggerak utama ke arah kecemerlangan perbadanan ini.

“Kecemerlangan ditunjukkan penerima-penerima anugerah itu adalah manifestasi warga kerja PKNS selaras dengan tanggungjawab mereka menunaikan amanah kepada rakyat, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Majlis itu juga turut meraikan seramai 41 pesara untuk diberikan penghargaan selain seramai 25 anggota yang telah berkhidmat selama lebih 30 tahun sebagai warga kerja PKNS.

Penerima Anugerah Pekerja Cemerlang menerima sijil penghargaan dan cek bernilai RM1,000 setiap seorang, manakala penerima Anugerah Jasamu Dikenang dianugerahkan pingat, sijil simpanan premium Bank Simpanan Nasional (BSN) dan sijil penghargaan manakala pesara pula menerima pingat emas, sijil simpanan premium BSN, jam tangan untuk pasangan serta sijil penghargaan. -UTUSAN ONLINE