Dalam insiden kira-kira pukul 10 pagi itu menyebabkan suasana berdekatan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) itu kecoh seketika apabila ramai pelancong dan pemandu kenderaan berat khususnya treler membawa barang tidak dapat meneruskan perjalanan.

Pengarah Imigresen negeri, Zuhair Jamaludin berkata, pihak terbabit dipercayai bertindak menutup pintu pagar berkenaan sebagai tanda protes operasi jalan raya membabitkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan trafik di kawasan Malaysia.

"Berdasarkan siasatan, mereka sebenarnya dipercayai mahu menutup pintu sempadan pihak Thailand kerana tidak berpuas hati, tetapi tersilap apabila menarik pintu pagar kita (Malaysia) yang terletak selepas ICQS.

"Bagaimanapun, keadaan kembali terkawal selepas kami bertindak segera susulan menerima laporan berhubung kejadian terbabit dan pintu pagar Malaysia dibuka semula kira-kira 15 minit kemudian," katanya di sini hari ini.

Difahamkan, operasi pihak berkuasa Malaysia itu telah 'menjejaskan' warga Thailand yang berulang-alik menaiki motosikal untuk mengambil penumpang yang mahu memasuki negara itu selepas meletak kenderaan di kawasan parkir kompleks bebas cukai berdekatan.

Kejadian tersebut tular di media sosial apabila sebuah video berdurasi satu minit 19 saat memaparkan pintu pagar Malaysia yang berwarna putih tertutup rapat dan dipenuhi orang ramai yang berkumpul untuk menyaksikan kejadian itu.

Beberapa kenderaan Malaysia juga dilihat terpaksa berhenti di sempadan tersebut akibat insiden terbabit.

Sementara itu, Zuhair berkata, pihaknya percaya tindakan itu dilakukan sekurang-kurangnya dua suspek, namun ketika pihak berkuasa menerima laporan berhubung kejadian terbabit, kesemua mereka dipercayai sudah melarikan diri.

Ujar beliau, pihaknya juga akan bekerjasama dengan polis Thailand untuk mengesan suspek sebelum tindakan susulan boleh diambil terhadap mereka. - UTUSAN ONLINE