Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar berkata, pindaan itu dilakukan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan ditambahbaik sekali gus dapat memudahkan urusan rakyat.

Katanya lagi, selain itu ia juga memudahkan cara pembangunan semula yang melibatkan skim berstrata bagi mengatasi masalah bangunan usang dan terbiar.

“Malah ia memberi kemudahan kepada rakyat dalam urusan pusaka kecil dengan memendekkan tempoh masa penyelesaian dan memperkemaskan pengurusan harta pusaka.

“Pindaan kedua-dua akta masih di peringkat kajian dan kita akan mengemukan hasil keputusan dalam Majlis Tanah Negara sebelum dibentang dalam sesi Parlimen tahun depan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Tanah Negara Ketiga 2019 di sini hari ini.

Pada masa sama, Xavier memaklumkan, e-Tanah iaitu sistem pengurusan dan pentadbiran tanah bersepadu secara dalam talian dijangka digunakan di seluruh Semenanjung Malaysia menjelang 2021.

Katanya, Kabinet telah bersetuju untuk menanggung kos pembangunan sistem bersepadu itu dengan secara Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).

“Buat masa kini, hanya Wilayah Persekutuan yang melaksanakan sistem ini 100 peratus manakala terdapat beberapa negeri lain sudah melaksanakan tetapi belum sepenuhnya.

“Pihak kementerian amat komited dalam sesi libat urus bersama semua kerajaan negeri untuk memastikan pelaksanaan sistem e-Tanah ini difahami dan diterima,” katanya.

Beliau menjelaskan, pentadbiran tanah perlu peka dengan kemunculan teknologi terkini di samping kemunculan teknologi baharu yang dikenali Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0).-UTUSAN ONLINE