Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dalam satu kenyataan berkata, pindaan tersebut, yang berkuatkuasa 1 Mei lalu merupakan anjakan yang akan membawa pergerakan Pertubuhan Peladang (PP) ke arah dimensi baharu, terutamanya dalam usaha mentransformasikan institusi peladang agar lebih maju dan berdaya saing.

"Pindaan ini selari dengan hasrat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk mereformasikan kepimpinan Pertubuhan Peladang di tiga peringkat iaitu Pertubuhan Peladang kawasan (PPK), Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS)," kata kenyataan itu.

Pindaan yang dibuat merupakan penambahbaikan kepada pentadbiran dan kepimpinan PP sebelum ini, dan dilaksanakan berdasarkan punca kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 35 Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109) dan telah diwartakan.

"Tindakan menyemak dan meminda perundangan sebenarnya berbentuk dinamik dan ia sentiasa dilaksanakan dari masa ke semasa mengikut kesesuaian perundangan terhadap keperluan semasa.

"Ia selari dengan agenda Kerajaan semasa yang mengutamakan 'rule of law' dalam mentadbir urus setiap organisasi," kata kenyataan itu.

Sementara itu, LPP turut berkata, mereka turut mengambil maklum bahawa terdapat bantahan dalam kalangan ahli peladang berhubung pewartaan ini.

"Namun, LPP berkeyakinan agenda reformasi ini akan diterima oleh masyarakat peladang demi memastikan institusi peladang kekal relevan," katanya. - UTUSAN ONLINE