Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat berkaitan Kerajaan, Datuk Dr.Ismail Salleh berkata, usaha tersebut bertepatan dengan peruntukan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Seksyen 23, 24 dan 26 berkaitan dengan transgender.

“Tidak timbul kerajaan PH mengiktiraf golongan LGBT, apa yang dilakukan adalah ‘engagement’ untuk menarik mereka ini bagi tujuan rawatan dan menyedarkan mereka bahawa ia adalah penyakit dari segi perubatan kita rawat melalui kerohanian.

“Inilah juga yang disarankan ulama-ulama terdahulu apa yang disarankan Sheikh Al-Bana, inilah yang kita lakukan iaitu dengan mengenalpasti masalah dan tarik mereka bersama kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Menurutnya, terdapat kumpulan yang mengambil kesempatan dengan menggunakan isu berkaitan LGBT sebagai senjata politik yang menunjukkan kononnya semakin menerima golongan terbabit.

“Apa yang ditimbulkan ialah kebimbangan kononnya kerajaan PH tidak cenderung kepada Islam apabila mula mendekati golongan ini walhal ia dilakukan sebagai salah satu proses bagi merawat,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE