Pengerusinya, Datuk Syed Anuar Syed Mohamad berkata, langkah itu bertujuan memberi peluang kepada pelajar Melayu dari segi penulisan dan pembacaan di samping untuk membolehkan mereka berkomunikasi dengan baik.

Katanya, pendekatan dan idea untuk mengadakan kelas bahasa Mandarin pula adalah selaras dengan konsep Malaysia Baharu yang mahukan rakyat negara ini, khususnya para pelajar sekolah turut berkebolehan menguasai lebih daripada satu bahasa.

"Untuk tujuan itu, kita akan cari sekolah yang sesuai di negeri ini sebagai projek perintis bagi merealisasikan hasrat tersebut, manakala pelajar pula akan dipilih dalam kalangan mereka yang berpotensi dan cerdik di tahap dua.

"Begitu juga dengan bahasa Arab, kadang-kadang kita mendapati ada dalam kalangan pelajar cemerlang sewaktu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), tetapi apabila memasuki ke kelas agama mereka tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Arab, jadi, kita akan bantu pelajar terbabit dengan mengadakan kelas berkakitan", katanya.

Syed Anuar berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Pelancaran dan Mesyuarat Agung kali pertama Pewaris Terengganu yang disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Burung,di sini hari ini.

Menurut Syed Anuar, Pewaris Terengganu juga akan mempertimbangkan untuk mengadakan program penulisan jawi kepada pelajar sekolah di negeri ini sebagai usaha mengekalkan warisan tersebut.

"Matlamat dan teras penubuhan persatuan ini adalah untuk membantu kecemerlangan anak-anak dalam bidang akademik. Ia tercetus apabila senario politik di negeri dan peringkat pusat telah berubah, jadi kita berbincang menubuhkan sebuah persatuan yang menekankan konsep bukan politik dengan fokus utama ialah mempertahankan kecemerlangan pendidikan negeri", katanya.

Sementara itu, dalam mesyuarat agung kali pertama persatuan berkenaan, kesemua pemimpin penaja sebelum ini dikekalkan dan dipilih sebulat suara oleh ahli-ahli yang hadir.

Mereka ialah Syed Anuar (Pengerusi), Mohd. Nasir Jusoh (Timbalan Pengerusi), Syed Husni Syed Mohamad (Setiausaha) dan Ahmad Pazri Yusop (Bendahari), manakala enam ahli jawatankuasa yang turut kekal ialah Zurifah Mustapha, Azlan Mohd., Yusof Ibrahim, Abu Bakar Muda, Aziz Yahya dan Ibrahim Ismail. - UTUSAN ONLINE