Pengerusi Pewaris Terengganu, Datuk Syed Anuar Syed Mohamad berkata, sebagai permulaan, penubuhan majlis itu dicadangkan di peringkat parlimen sebelum dikembangkan di peringkat negeri di seluruh negara.

Katanya, penubuhan majlis itu selaras dengan kepemimpinan negara dan dasar yang berubah dengan mencadangkan akta PIBG diubah bagi membolehkan majlis itu diwujudkan.

"Kita melihat Majlis YDP PIBG cukup penting kerana dapat menggembeleng idea-idea YDP sama ada di peringkat parlimen atau negeri bagi memberikan impak baharu untuk kecemerlangan anak-anak.

"Penubuhan majlis itu juga dilihat tidak akan mengubah dasar kementerian, tetapi boleh membantu meningkatkan kecemerlangan sama ada di peringkat sekolah dan pelajar itu sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian Mesyuarat Agung PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Losong di sini hari ini yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim. Yang turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Terengganu, Jelani Sulong. - UTUSAN ONLINE