Ahmad Raif
Ahmad Raif 

Seorang pe­sawah, Ah­mad Raif Razak, 26, ber­kata rata-rata petani sudah mula mengeluh apabila bantuan dan pelbagai in­se­n­­­tif lain se­perti subsidi yang diberikan kerajaan terdahulu kepada mereka sudah ditarik balik.

Katanya, sebelum ini me­reka menerima bantuan RM600 sementara menan­ti musim baharu untuk mengusaha­kan sawah namun kali ini sudah tidak ada lagi, bahkan pelbagai subsidi lain seperti racun, baja, vitamin padi dan banyak lagi juga telah dipotong.

“Kami golongan pesawah bukannya terdiri daripada orang senang, tambah-tambah lagi yang menyewa atau mengambil upah menanam pa­di. Sekurang-kurangnya dulu apabila bukan musim tanam padi, kami me­nerima bantuan.

“Meskipun hanya RM600, namun bantuan itu banyak me­ringankan beban kami. Saya berharap sangat kerajaan baharu ini turut memberi fokus kepada golongan petani,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Mohamad Suhaimi
Mohamad Suhaimi 

Rakannya, Mohamad Suhaimi Osman, 33, berkata, setiap kali musim menuai dia hanya memperoleh pendapatan bersih kira-kira RM2,000 selepas ditolak perbelanjaan menyewa, upah mesin padi dan beberapa kos lain.

“Jumlah itu jika dicampur de­ngan bantuan RM600 untuk petani dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM1,200 cukup bagi menampung perbelanjaan saya sekeluarga.

“Perlu diingat tanam padi ini tak semestinya berhasil, kadang-kadang ada juga masalah. Golo­ngan pesawah juga perlu diberikan tumpuan. Malangnya kami lihat golongan seperti petani, nelayan dan penoreh tidak lagi mendapat layanan seperti dahulu,” katanya.

Katanya, dalam usaha menambah pendapatan, dia akan melakukan pelbagai kerja kampung lain khususnya di luar musim bersawah sekitar Febuari hingga Mei.

Sementara itu, seorang lagi pesawah, Zamzuri Ishak, 34, pula berkata, adalah lebih elok jika kerajaan mengekalkan bantuan seperti sebelum ini jika tidak boleh melakukan lebih baik untuk membantu mereka.

“Apa yang penting subsidi yang diberikan sebelum ini janganlah dipotong kerana bantuan itu sa­ngat membantu para petani,” katanya.