Douglas Uggah Embas

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pengumuman itu sudah lama dinantikan oleh pekebun kecil di ne­geri ini kerana ia secara tidak langsung akan menaikkan populariti tanaman tersebut.

“Peruntukan tambahan RM510 juta itu adalah berita yang amat dialu-alukan oleh pekebun kecil di Sarawak dan memberi makna besar kepada mereka,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri dalam ucapan sempena Sambutan 100 Tahun Industri Sawit Negara di Ladang Tennamaram di Bestari Jaya, Kuala Selangor mengumumkan peruntukan tambahan RM510 juta untuk Skim Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil dan Tanam Baharu Sawit Pekebun Kecil bagi tempoh tiga tahun akan datang.

Bagi 2017, kata Najib, kerajaan meluluskan perun­tukan tambahan RM130 juta yang dipohon Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Perdana Menteri turut menggariskan lima anjakan transformasi yang perlu dilakukan bagi memastikan masa depan industri sawit menjadi lebih cemerlang untuk tempoh 100 tahun akan datang, antaranya memperkenalkan Skim Pensijilan Mampan Malaysia (MSPO).

Mengulas lanjut, Douglas Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah negeri berkata, beliau akan mengemukakan jumlah peruntukan yang diperlukan oleh petani di Sarawak kepada Menteri ­Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong dalam mesyuarat bersama nanti.

“Dalam pertemuan itu, kami akan mengadakan perbincangan secara lebih terperinci dan mengemukakan permintaan kerajaan negeri, di samping membangkitkan pelbagai isu seperti pelaksanaan subsidi minyak sawit di negeri ini dan bagaimana mahu memastikan pekebun kecil mendapatkan MSPO.

“Perkara itu penting di­bincangkan bagi memastikan industri minyak sawit dapat diuruskan secara mampan kerana MSPO mencerminkan amalan kemampanan pena­naman kelapa sawit,” ujarnya.

Justeru, beliau meminta semua Pertubuhan Peladang, Persatuan Pekebun Kecil di negeri ini agar memastikan pekebun kecil mendapatkan pensijilan itu nanti.