Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, acara itu juga boleh menjejaskan keharmonian rakyat dan membawa ancaman terhadap keamanan negara.

“Saya arahkan Ketua Pengarah Imigresen tidak memberikan visa dan kebenaran kepada mereka yang terlibat dengan penganjuran parti itu untuk memasuki Malaysia,” katanya kepada para pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) Ke-11 dan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Kebangkitan Radikalisme dan Keganasan Melampau (SAMMRRVE) di sini hari ini.

Mengulas lebih lanjut, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, Bukit Aman telah memberi laporan kepadanya tentang perkara tersebut dan mengesahkan belum menerima sebarang permohonan untuk penganjuran parti itu.

Pesta tarian anjuran DivineBliss Malaysia itu difahamkan menjemput semua ahli komuniti LGBT dan gay dari seluruh negara untuk datang beramai-ramai bagi memeriahkan acara berkenaan. - UTUSAN ONLINE