Pengerusinya, Mohammad Hisham Shafie mendakwa, rata-rata peserta pesta arak tersebut memandu kenderaan untuk pergi dan pulang dari lokasi penganjuran dan itu bakal membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain terutama jika peserta memandu dalam keadaan mabuk.

Katanya, pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu menjalankan operasi besar-besaran dengan mengadakan sekatan jalan raya di semua jalan keluar dari lokasi pesta arak itu dianjurkan.

“Memandu dalam keadaan memabukkan adalah menjadi satu kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987. Lebih merisaukan, kebanyakkan mereka yang ke pesta itu memandu kenderaan dan mengguna jalan raya untuk pulang ke rumah dan boleh membahayakan pemandu lain.

“PPJK tidak menyokong pesta arak Oktoberfest serta memohon pihak berkuasa memandang serius perkara ini kerana melibatkan nyawa pengguna jalan raya yang lain,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad baru-baru ini membenarkan penganjuran Oktorberfest tetapi dengan bersyarat, pihak penganjur perlu membuat permohonan bagi mendapatkan permit dan mematuhi kesemua garis panduan yang ditetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Antara garis panduan yang perlu dipatuhi penganjur ialah orang Islam tidak dibenarkan terlibat dan tidak dijalankan di tempat terbuka. - UTUSAN ONLINE