Ketua Konvoi Kembara Merdeka, Norkhanizan Manaf berkata, seramai 135 peserta dari 15 agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melibatkan 20 kenderaan termasuk motosikal berkuasa tinggi menyertai jelajah di tiga buah negeri itu.

Katanya, konvoi dari kumpulan mereka bermula di Pulau Pinang pada 4 Ogos lalu sebelum ke Kedah dan singgah di Perlis.

“Di setiap lokasi persinggahan di setiap negeri itu, kami akan bertemu orang ramai untuk menyerahkan Jalur Gemilang selain menasihatkan mereka supaya membeli bendera negara ini untuk dipasang di kereta, rumah, premis atau mana-mana tempat yang dirasakan sesuai.

“Kita mahu di setiap jiwa rakyat negara ini mempunyai semangat patriotik dan cintakan negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang ini. Kita ingin memupuk kesedaran ini terhadap seluruh rakyat,” katanya ketika ditemui di perkarangan Arkeb Niaga, Padang Besar di sini hari ini.

Konvoi Kembara Merdeka itu tiba di negeri ini hari ini dan disambut oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Hamdan Bahari yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.

Hamdan kemudian melancarkan konvoi tersebut bagi peringkat negeri ini dan turut dihadiri oleh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Tambah Norkhanizan yang juga Pengarah Bahagian Perhubungan Antarabangsa Jabatan Penerangan, konvoi tersebut selepas ini akan diteruskan oleh kumpulan lain bagi melengkapkan jelajah di seluruh negara yang kemuncaknya pada 31 Ogos depan.

“Diharap program seperti ini dapat menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan, terutama dalam kalangan generasi baharu yang bakal mewarisi negara ini pada masa depan,” katanya- UTUSAN ONLINE