Pengerusinya Khalid Hussin berkata pihaknya menyambut baik saranan itu namun turut mencadangkan calon dipilih seharusnya bukan dalam kalangan ahli politik bagi memastikan Yang Dipertua Negeri Melaka dapat menjalankan tugasnya dengan baik tanpa campur tangan parti politik.

“Calon yang dipilih nanti sebaik-baiknya mempunyai latar belakang keluarga berkaitan dengan pemimpin pada zaman Kesultanan Melayu Melaka,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai hakikat bahawa sejak negara Merdeka pada 1957, anak Melaka tidak pernah dilantik ke jawatan tertinggi negeri ini iaitu Yang Dipertua Negeri Melaka.

Beliau berkata calon Yang Dipertua Negeri Melaka juga perlu mempunyai sifat kepimpinan unggul seperti amanah, bertanggungjawab, berilmu pengetahuan, merendah diri, tegas dan lain-lain.

Khalid berkata Pesawad berhadap calon jawatan Yang Dipertua Negeri Melaka yang baru dilantik mampu menjaga rakyat dan memikul tanggungjawab dengan baik sepertimana yang dilakukan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka sebelum ini.

Bernama melaporkan kerajaan negeri masih belum membincangkan soal untuk mencadangkan lanjutan tempoh lantikan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob, atau mencadangkan calon bagi mengantikan Mohd Khalil yang bakal tamat tempoh lantikannya tahun hadapan.

Pada Jumaat lepas, Ketua Menteri Adly Zahari juga dilaporkan berkata kerajaan negeri masih belum menetapkan kriteria anak Melaka akan dimasukkan sebagai syarat lantikan jawatan Yang Dipertua Negeri Melaka kerana masih belum ada keperluan untuk berbuat demikian.

Pada 27 Mei 2016, Mohd Khalil mengangkat sumpah untuk penggal keempat sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka. Tempoh sepenggal sebelum ini adalah selama empat tahun.

Mohd Khalil yang berasal dari Kuantan, Pahang pertama kali mengangkat sumpah jawatan itu pada 4 Jun 2004 bagi menggantikan Tun Syed Ahmad Syed Mahmud Shahabudin. Isteri Mohd Khalil iaitu Toh Puan Zurina Kassim berasal dari Duyong, Melaka. - BERNAMA