Sehingga kini, ribuan berita sudah dikumpul Azmi Nayan, 62, yang disimpan rapi di dalam fail-fail di salah sebuah bilik di rumahnya di Taman Naga Emas di Kepala Batas di sini.

Mengimbau kenangan semasa bertugas di Kuala Bera, Pahang, antara 1986 hingga 1996, Azmi pernah terpaksa mengirim akhbar berkenaan melalui penjual ikan dari Temerloh setiap hari kerana tiada kedai berdekatan yang menjualnya.

"Kalau hendak membeli Utusan Malaysia terlalu jauh iaitu kira-kira 15 kilometer jaraknya, jadi saya mengirim akhbar ini melalui seorang penjual ikan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurut Azmi, Utusan Malaysia dan kehidupannya tidak dapat dipisahkan kerana setiap pagi selepas solat subuh, dia akan mendapatkan akhbar itu di kedai berhampiran.

Katanya, sekiranya terlepas atau kehabisan terutamanya sejak kebelakangan ini, dia akan mendapatkan Utusan Malaysia yang tidak terjual di kedai sama pada keesokannya.

"Jika tiada juga, saya akan pergi ke pejabat cawangan Utusan Malaysia di Alor Setar untuk membeli akhbar ini.

"Sehingga kini, saya telah mengumpul pelbagai jenis berita, artikel dan rencana seperti ruangan pertanian, kesihatan, pelancongan, agama dan politik.

"Kalau di ruangan agama, saya mengumpul penulisan Astora Jabat, Salleh Buang (perundangan) manakala politik pula, Zulkiflee Bakar. Antara yang saya simpan adalah semasa Zulkiflee membuat liputan menunaikan haji di Mekah dan gempa bumi di Indonesia," katanya.

Ditanya perasaannya apabila mendengar desas-desus bahawa akhbar itu akan ditutup baru-baru ini, Azmi ternyata tidak dapat menyembunyikan perasaan sedihnya namun berharap ada pihak yang akan membantu.

"Banyak jasa Utusan Malaysia dalam menyalurkan maklumat kepada masyarakat terutamanya kepada orang Melayu dan Islam.

"Bagilah apa sahaja akhbar, tetapi pada saya tetap tidak dapat menandingi Utusan Malaysia dan saya akan kekal sebagai peminat setia walaupun harganya telah dinaikkan kini kepada RM2 senaskhah," katanya yang sudah membeli akhbar itu bermula pada harga 50 sen senaskhah. - UTUSAN ONLINE